Monday 2 May 2011

Antibiotik

Antibiotik adalah rawatan anti mikrob khusus untuk jangkitan bakteria.

Ia sangat penting kerana tanpa antibiotik, keadaan individu yang mendapat jangkitan bakteria boleh menjadi teruk dan membawa kepada kematian.

Pun begitu, ia hanya untuk jangkitan bakteria dan ia tidak memberi kesan kepada masalah kesihatan akibat jangkitan virus.

Bakteria ialah mikro organism satu sel yang sentiasa ada di keliling kita.  Kebanyakannya tidak berbahaya dan ada yang sangat berguna kepada manusia seperti Lactobasillus yang hidup dalam usus untuk membantu proses pencernaan makanan.

Antibiotik sangat berkesan membunuh bakteria kerana ia bertindak ke atas organisma hidup dengan menghentikan proses pembahagian dan pertumbuhan sel.

Sebaliknya, virus pula bukan organisma hidup dan tidak boleh hidup sendiri.  Ia adalah partikel yang mempunyai bahan genetik dan diselaputi kot protein.

Virus hanya ‘hidup’ dan membiak apabila ada dalam badan perumah seperti manusia dan haiwan.  Ini sebabnya antibiotik tidak memberi kesan ke atas virus.

Walaupun kedua-duanya boleh menjangkiti dan menyebabkan masalah kesihatan, cara ia membiak dan merebak tidak sama.

Jangkitan virus tidak perlukan antibiotik kerana badan kita menghasilkan antibodi bagi menghapuskannya.  Ubat yang diberikan bertujuan mengurangkan gejala akibat jangkitan berkenaan.

Secara amnya, antibiotik terbahagi kepada tiga kategori iaitu antibiotik yang menghapuskan bakteria (membunuh bakteria), menghentikan pembiakaan bakteria dan gabungan kedua-duanya.

Jika antibiotik diambil terlalu kerap, termasuk untuk masalah kesihatan yang tidak boleh dirawat seperti selesema atau lain-lain jangkitan virus, keberkesanan antibiotik untuk melawan jangkitan bakteria akan berkurangan apabila ia benar-benar diperlukan.

Maknanya, bakteria yang menyerang seseorang itu mempunyai daya tahan lebih tinggi terhadap antibiotik dan memerlukan antibiotik lebih kuat untuk menghapuskannya.

Ini sebabnya setiap kali anda mendapat jangkitan, mesti banyak minum air dan berehat kerana jangkitan virus dan bakteria selalu menunjukkan gejala lebih kurang sama.

Mengambil antibiotik untuk jangkitan virus:

ü Tidak akan menyembuhkan atau mengurangkan masalah kesihatan

ü Tidak akan membuatkan anda atau anak anda berasa sihat

ü Tidak akan menghalang jangkitan daripada merebak kepada orang lain

ü Mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini






No comments: